4 LANGKAH PERBINCANGAN KEWANGAN DENGAN PASANGAN

4 LANGKAH PERBINCANGAN KEWANGAN DENGAN PASANGAN | Duit atau kewangan bukanlah satu perkara yang anda patut pandang remeh. Lebih-lebih lagi selepas perkahwinan.


Sudah berapa banyak kes cerai yang berlaku melibatkan isu kewangan ini di negara kita. Bukan main susah payah untuk kita mendirikan masjid, tapi hanya disebabkan harta dunia ianya runtuh begitu sahaja. Jadi, siapa yang perlu dipersalahkan?

Tiada siapa yang perlu dipersalahkan melainkan diri kita dan juga pasangan. Hakikatnya duit tidak boleh menyelesaikan semua masalah. Tetapi dengan duit, banyak masalah yang boleh diselesaikan olehnya. Faham kan maksud Nurul? Kerana disebabkan zaman sekarang banyak benda yang memerlukan duit untuk dipakai.


Tidak semua orang mudah nak bawa berbincang tentang isu kewangan ini dan ianya adalah salah satu isu yang sangat sensitif. Jadi, komunikasi yang berkesan adalah kunci untuk kita dan pasangan menangani masalah ini.

Jom Nurul kongsikan serba sedikit cara untuk anda berbincang dengan pasangan mengenai isu ini.


1. PILIH SATU TARIKH KHAS PADA SETIAP BULAN

Ini digelarkan sebagai money dates. Dimana anda dan pasangan akan berbincang tentang kewangan masing-masing pada satu tarikh yang anda telah tetapkan pada setiap bulan.

Tidak perlu lama-lama. Cukup sekadar 1 atau 2 jam sahaja sudah memadai untuk anda dan pasangan. Pada masa ini, anda boleh berbincang dan mengkaji semula situasi kewangan masing-masing secara terbuka dan jujur. Jika ada masalah tentang kewangan, pada masa ini jugalah untuk anda membuka cerita.


Bagi yang tidak biasa, kuncinya adalah anda perlu mula untuk berbincang. Dalam hidup, akan ada sentiasa perkara yang kita tidak biasa atau tidak pernah buat. Tapi, kita kena dan paksa diri untuk buat supaya menjadi kebiasaan.

Kalau anda tidak mula untuk berbincang, sampai bila masalah kewangan ini nak selesai. Lebih baik buat daripada tidak buat langsung.

Tidak kira apa situasi anda, tetapkan satu tarikh untuk anda dan pasangan berbincang tentang hal ini. Anda boleh buat reminder dalam telefon pintar masing-masing atau tandakan pada kalendar di rumah anda.

Berbincanglah dengan terbuka dan tidak perlu meletakkan ego atau perasaan malu jadi penghalang. Lagipun, anda dan pasangan kan suami isteri. Bukan orang lain pun.


NOTA TAMBAHAN : Pada masa yang sama ini adalah langkah yang terbaik untuk eratkan hubungan anda dan pasangan.



2. TETAPKAN AGENDA MESYUARAT

Agenda ni bermaksud senarai perkara yang akan dibincangkan dalam sesuatu mesyuarat. Jadi, sediakan agenda untuk anda dan pasangan berbincang tentang hal kewangan.

Perkara pertama yang anda perlu buat adalah kaji setiap masalah yang berkaitan tentang kewangan yang telah berlaku dalam rumah tangga dan bawa ia ke meja perbincangan. Tidak kira sama ada ianya personal atau melibatkan keluarga anda.


Sebelum sampai ke tarikh perbincangan, luangkan masa sendiri untuk meneliti semula situasi kewangan secara individu dan pasangan anda pun perlu buat perkara yang sama. Ini juga termasuklah cara anda berbelanja setiap bulan, simpanan dan juga hutang-piutang yang ada.

Kemudian, bawa perkara ini dalam perbincangan anda supaya anda dan juga pasangan dapat kaji semula perkara tersebut dan membuat keputusan yang tepat.

Contoh agenda yang anda boleh tetapkan adalah seperti :-


  • Bagaimana hendak menyelesaikan hutang isi rumah dalam masa XX tahun?
  • Siapa yang akan pegang tanggungjawab untuk jelaskan bil pada setiap bulan?
  • Berapa banyak gaji yang perlu disimpan pada setiap bulan?

Ini sebagai contoh sahaja. Anda boleh tetapkan agenda anda ikut situasi anda dan pasangan masing-masing. Tapi pastikan anda berdua bersetuju dengan agenda tersebut.

Pastikan juga setiap agenda anda ada maklumat penting seperti :-

  • Perbelanjaan Bulanan : Adakah ianya sesuai dengan situasi semasa atau perlu diperbaiki?
  • Simpanan : Berapa banyak yang anda dan pasangan sudah simpan? Perlu tidak ianya ditambah?
  • Kemajuan Dalam Menjelaskan Hutang : Adakah hutang dibayar pada setiap bulan? Hutang semakin bertambah atau berkurang?
  • Penyelarasan : Ada tidak perkara yang perlu diubah? Kalau perlu, ubahkan supaya selaras dengan matlamat anda dan pasangan.


3. SEDIAKAN DIRI MASING-MASING SEBELUM BERBINCANG

Seperti mesyuarat lain, anda akan menyediakan diri ke meja perbincangan. Dan ia adalah berkaita dengan persediaan secara emosi, fakta dan lain-lain yang sama waktu dengannya.

Sebagai permulaan, anda boleh kaji agenda perbincangan dan mencatat setiap isu yang berkaitan dengan kewangan yang buatkan anda bimbang.


Betul. Kewangan adalah satu isu yang sangat berat dan akan beri tekanan yang hebat kepada anda dan pasangan jika ianya tidak diuruskan dengan baik. Kalau tidak kena pada masanya, perkara ini akan berpotensi untuk bertukar menjadi pendebatan yang panjang.

Tumpukan perhatian kepada perkara ini dan elakkan dari berlaku pendebatan. Tidak ada pasangan yang nak bertengkar lebih-lebih lagi kalau berkaitan dengan isu yang sensitif ini.

Sentiasa perlu sabar dengan isu yang berbangkit walaupun tidak enak untuk kita atau pasangan telan. 


Fahamkan juga had masing-masing. Jika perbincangan sudah nampak untuk bertukar menjadi hangat, kawal emosi dan diri supaya tidak berlebihan. Kalau terpaksa untuk berhenti, hentikan perbincangan terlebih dahulu dan cool down kan diri masing-masing.

Matlamat kita adalah hendak berbincang dengan baik dan menyelesaikan segala masalah yang ada. Bukan untuk menambah minyak pada api yang sedang marak membakar.



4. MULA BERBINCANG DAN JADIKAN IA PERBINCANGAN YANG MENARIK

Tiba masanya untuk anda berbincang dengan pasangan. Berikan perhatian secara menyeluruh pada setiap perkara yang anda dan pasangan bincangkan. Pastikan juga setiap isu berbangkit dibincang dengan baik dan berhemah.

Dengan cara ini, ia akan memberi kesan yang positif pada anda dan pasangan dan jadikan anda selesa untuk berbincang tentang isu yang sensitif seperti isu kewangan dan duit ni. Anda berbincang lah dengan bersahaja dan tidak keterlaluan.

Kerana duit adalah perkara yang rata-rata manusia menganggap sebagai perkara yang serius.


Anda juga boleh tetapkan satu insentif kecil atau ganjaran selepas anda dan pasangan berjaya mencapai persetujuan atau matlamat dalam perbincangan ini. Contohnya pergi lah keluar makan di luar atau lain-lain.



Hakikatnya, kes penceraian semakin meningkat daripada tahun ke tahun. Menurut kajian Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, situasi ekonomi keluarga adalah salah satu punca yang terbesar dalam masalah ini.

Lagi-lagi pada pasangan yang baru berkahwin. Jadi, lebih elok jika anda dan pasangan memutuskan kata sepakat untuk membincangkan tentang hal kewangan ini pada setiap bulan.


No comments:

Powered by Blogger.