5 TABUNG KEWANGAN WAJIB ADA SELEPAS BERNIKAH
5 TABUNG KEWANGAN WAJIB ADA SELEPAS BERNIKAH | Detik yang dinantikan akhirnya tiba dengan ikatan perkahwinan yang sah bagi dua mempelai. Bagi yang tidak pernah melalui hubungan percintaan sebelum perkahwinan berlansung, sudah pastinya hari tersebut adalah hari yang paling bahagia dan bermakna saat melihat pasangan halal yang Allah anugerahkan untuk kita.
Namun, adakah kita tanya diri sendiri sama ada kita sudah bersedia ataupun belum untuk menempuh kehidupan berumahtangga? Terdapat dua persediaan penting pada fasa awal perkahwinan iaitu aspek mental dan kewangan.
BACA SINI >> 5 CARA SIMPAN RM200 SECARA PAKSA
1. PERSEDIAAN MENTAL SELEPAS AKAD NIKAH
Sebaik sahaja pengantin lelaki lafaz akad, mindset kita kena terus terarah untuk memikirkan kehidupan berumah tangga. Semua perbuatan yang tidak baik ketika zaman bujang haruslah ditinggalkan serta-merta.
Bagi lelaki yang sudah terbiasa dengan kehidupan santai, sering mengharapkan bebelan seorang ibu untuk bangun pagi atau berpenampilan kacak sedangkan bilik asyik bersepah, maka, sudah tiba masanya untuk anda berubah untuk memudahkan isteri anda.
Bagi si isteri pula, tidak ketinggalan juga. Adakah anda sudah bersedia untuk menyinsing lengan ke dapur dan memasak buat suami tercinta pada setiap hari?
Tempoh awal perkahwinan adalah fasa yang sangat mencabar tetapi amat membahagiakan jika kita sulami dengan perkara-perkara yang indah. Inilah fasa yang terbaik untuk anda mengenali pasangan dari segi apa yang disukai dan apa yang tidak disukai olehnya.
Selain itu, berusahalah untuk mencapai keserasian dengan pasangan termasuklah keserasian dalam kamar, keserasian dalam berkongsi idea, keresasian dalam menerima keluarga pasangan dan juga keserasian untuk menerima norma hidup masing-masing yang selama ini mendapat didikan daripada keluarga yang berbeza.
Inilah persediaan mental yang perlu diambil kira.
2. PERSEDIAAN KEWANGAN SELEPAS AKAD NIKAH
Pasangan mempelai yang bakal mendirikan rumahtangga kebiasaannya lebih teruja untuk memikirkan perihal hari bahagia termasuk isu tema majlis perkahwinan, busana pilihan dan dekorasi pelamin idaman. Namun, bakal raja sehari sering sangat terlupa untuk merancang tempat tinggal yang akan didiami selepas berkahwin kelak.
Persoalan seperti "adakah menumpang di rumah ibu bapa merupakan pilihan yang terbaik?" haruslah dilupakan sebelum hari akad. Bagi yang berpendapat 'biarlah saiz kediaman kecil, asalkan ada sebuah rumah untuk kehidupan peribadi yang selesa', maka, kita perlu mengambil kira kos memiliki atau menyewa rumah kediaman selain daripada kos perbelanjaan majlis perkahwinan.
Bagi lelaki yang berkemampuan, mungkin tiada masalah untuk memiliki sebuah rumah idaman. Namun, bagi yang kurang berkemampuan pula, jangan malu untuk membuat pilihan menyewa rumah sementara waktu untuk mendapatkan rumah sendiri. Berbincanglah secara berhikmah dan cermat dengan bakal pasangan anda.
Ingat ! Jangan bebankan diri dengan komitmen kewangan yang melebihi kemampuan.
Kebanyakan lelaki lebih suka mencari pasangan yang mempunyai kerjaya dek kerana kehidupan zaman sekarang yang amat mencabar dengan kos sara hidup yang terlalu tinggi.
Tetapi, tidaklah menjadi kesalahan jika anda ingin memilih pasangan yang tidak berkerjaya sekiranya anda merupakan seorang lelaki yang berkemampuan. Namun, harus diingatkan tanggungjawab menyediakan keperluan asas rumah tangga 100% terletak di bahu anda.
Pengurusan kewangan harus diurus dengan baik bagi memenuhi keperluan asas, keperluan kecemasan serta keperluan simpanan jangka pendek dan jangka panjang.
Pasangan masing-masing mestilah bijak mengasingkan tabungan tertentu agar kehidupan lebih teratur lebih-lebih lagi jika telah dikurniakan cahaya mata nanti.
Jadi, pastikan sediakan tabung-tabung seperti :-
1. TABUNG KEPERLUAN ASAS
Diwujudkan bagi menampung pembelian barang dapur, bayaran rumah, bayaran kereta, bayaran bil utiliti dan bayaran perkhidmatan yang berkaitan.
2. TABUNG KECEMASAN
Digunakan ketika dilanda musibah seperti sakit, kehilangan atau tukar pekerjaan, pindah rumah, membaiki kenderaan atau menziarahi keluarga tanpa dijangka. Jumlah simpanan dalam tabung ini perlu ada sekurang-kurangnya 3 bulan daripada pendapatan suami dan isteri.
3. TABUNG PERLINDUNGAN
Untuk takaful hayat dan kad perubatan.
4. TABUNG SIMPANAN JANGKA PENDEK
Diperlukan untuk menampung kos seperti pulang ke kampung, memperbaharui insuran atau takaful kenderaan, memperbaharui lesen memandu, perbelanjaan ketika musim perayaan dan percutian bajet.
5. TABUNG SIMPANAN JANGKA SEDERHANA DAN PANJANG
Tabung ini akan membantu anda memiliki rumah atau kenderaan yang lebih selesa, menunaikan umrah dan haji, pendidikan anak-anak, persaraan, menikmati percutian yang lebih mewah dan apa sahaja yang memerlukan tempoh perancangan untuk jangka masa lama.
Pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan seperti melakukan kerja sampingan dan membuat pelaburan dalam bidang hartanah, emas dan juga unit amanah.
Bijaklah dalam menyimpan dan melabur agar wang anda lebih selamat dan terjamin di samping sentiasa memastikan pulangan yang diperolehi patuh syariah. Apa yang penting, anda carilah ilmu pelaburan yang betul agar usaha kita melabur tidak lebur.
Jangan mengharapkan keuntungan yang cepat seperti yang ditawarkan oleh skim cepat kaya.
No comments: